Wednesday, July 21, 2010

Bersikap Ihsan

Assalamualaikum...

Ssedikit santapan rohari untuk hari ini...semoga mendapat kebaikan dan memperbanyakkan kebaikan untuk diri dan juga orang lain.
Hadis Rasulullah S.A.W. :

"Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan atas setiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhannya. Dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihannya. Dan hendaklah salah seorang dari kamu menajamkan mata pisaunya, dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihannya."

(diriwayatkan oleh Muslim)

Bersifat ihsan maknanya disini berbuat kebaikan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Berbuat kebaikan kepada ibubapa, jiran tetangga, rakan sepejabat, anak2 tersayang, suami tercinta, binatang kesayangan dan lain2 perkara sekeliling kita. Berbuat naik tidak hanya pada manusia, tetapi tuntutannya adalah atas setiap suatu....termasuk juga haiwan dan juga tumbuhan.

Sehinggakan dalam urusan pembunuhan (iaitu hukuman bunuh) pun perlu adanya sifat ihsan. Dilarang membunuh dengan cara kekejaman dan menyiksanya terlebih dahulu sebelum mati. Juga tidak boleh membunuh dengan cara membakar dengan api kerana rasulullah pernah melarang "Janganlah kamu menyiksa dengan azab Allah" iaitu api.

Dalam urusan penyembelihan pun perlu ada sifat ihsan. Dilarang menyiksa binatang sebelum disembelih samada boleh membunuh atau pun tidak. Daripada hadis di atas, hendaklah menajamkan pisau supaya tidak menyakitkan binatang, mempercepatkan dan memudahkan proses penyembelihan. Juga hendaklah diberikan minuman sebelum disembelih. Cara dibawa ke tempat penyembelihan pun tidak boleh berkasar atau pun menyakitkan badan binatang tersebut.

Itu adalah huraian ringkas daripada hadis diatas. Mungkin ada yang sudah mengetahui...ini sekadar mengingatkan kembali...Islam yang membawa erti Ihsan. Berbuat kebaikan yang tidak akan merosakkan, menyakitkan dan membahayakan. Ini membuktikan Islam amat menekankan nilai kasih sayang bukan sahaja sesama manusia tetapi juga alam sekeliling, meliputi sekalian makhluk samada yang hidup ataupun yang akan mati (manusia yang akan dihukum bunuh dan binatang yang akan disembelih)

Semoga aktiviti pada hari ini dan hari2 berikutnya akan dipenuhi dengan nilai kebaikan. Sesungguhya balasan kebaikan insyaAllah akan dibalas juga dengan kebaikan dunia dan akhirat....amin.


Sunday, July 18, 2010

Ujian Allah sebagai peringatan

Assalamualaikum....

Satu kenangan yang pasti tidak akan dapat dilupakan....naluri keibuan saya diuji dengan kehilangan anak ketika pergi membeli belah di Ampang. Walaupun kehilangan anak yang ke-3, Muhammad Al-Amin tak sampai pun 1/2 jam, tapi peringatan Allah ini cukup hebat kesannya.

Lutut rasa lemah dan longlai, kepala naik pusing dan mulut ni tak henti2 berdoa pada Allah....Beginilah agaknya rasa nak pitam, tapi dikuatkan kaki untuk berlari kesana kemari untuk mencari bersama suami. Tempat yang dituju adalah tempat2 yang menjadi favorite hentiannya kalau pergi ke pusat membeli-belah. Area yang ada permainan kanak2...tapi tak ada. Alhamdulillah ingatan suami pada 1 lagi tempat yang selalu menjadi hentian dan tumpuannya iaitu bahagian menjual ikan dan sayur. Hentiannya adalah aquarium yang diletakkan ikan hidup didalamnya. Berdiri tegak di situ sambil melihat ikan berenang....alhamdulillah...terima kasih ya Allah. Peringatan yang cukup memberi erti buat diri ini....

Takes time lepas tu untuk berbicara mengenai perkara ini dengan sesiapapun termasuk parents. Bila bercakap dan mengingatkan balik, lutut kembali menjadi lemah. Terdiam buat seketika, yang diingat ialah Tuhan Maha Berkuasa dan hikmah disebalik kejadian. Tak dapat membayangkan perasaan ibu bapa yang kehilangan anak dalam jangkamasa yang begitu lama...tapi sekembalinya pula dalam keadaan yang tidak dijangka....na'uzubillah.....


Wajah anak2 tersayang....semoga Allah melindungi kalian

Peringatan yang paling kuat ialah supaya lebih mendekatkan diri kepadaNya yang Esa...yang Maha Mengetahui segala-galanya.

"kecuali jika Allah mengkehendaki. Sungguh, Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi" (Al-A'la : 7)

Ya Allah, Engkau mengetahui segalanya, maka berikanlah kekuatan kepadaku untuk menghadapi segala ujian dan dugaanMu. Berikanlah kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk terus lebih menghampiriMu sepanjang masa....amin...


Monday, July 5, 2010

Persaudaraan Islam...Kawan Mak Ayah

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, pada tahun lepas ke2 ibubapa telah selamat menunaikan haji di tanah suci. Mereka adalah antara kumpulan jemaah haji yang terawal bertolak dari Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Kepulangan mereka pula ditangguhkan selama 10 hari dari tarikh yang asal. Bila sembang2 dengan Mak Cik dan Pak Cik yang pernah pergi ke Mekah, memang amat dinantikan jika dapat penangguhan untuk pulang ke tanahair. Ini semua kerana hati yang dah terasa berat dan sayang untuk meninggalkan tanah suci. Alhamdulillah semoga ianya dapat meningkatkan dan menambahkan amal ke2 ibubapaku. Pemergian mereka ke tanah suci saya iringi dengan doa dan kesyukuran kerana ianya merupakan tawaran kali ke-4 oleh pihak tabung haji. Atas sebab tertentu tawaran sebelumnya telah ditolak dan Alhamdulillah Allah masih lagi memberi peluang kepada mereka.

Walaupun sudah 8 bulan berlalu, apa yang membuatkan hati ini tersentuh ialah hubungan mereka dengan rakan2 sebilik yang terjalin semasa sama2 menunaikan haji. Hubungan yang terjalin agak begitu singkat, tetapi berterusan sehingga kembali ke tanahair. Kawan2 yang tidak mengenali antara satu sama lain dapat menjalinkan suatu ikatan yang murni dan erat….alhamdulillah. Mereka saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Saya juga sempat mengikut ibubapa menziarahi kawan mereka di Perlis ketika melawat nenek saudara di Rumah Sri Kenangan disana.


Persaudaraan Islam diawali melalui interaksi antara manusia sebagai satu fitrah dan diwarnai dengan berbaik sangka dan damainya hati dengan interaksi itu.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu(yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(al-Hujurat 49 :10)

Firman Allah lagi:

“Wahai manusia! Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
(al-Hujurat 49 : 13)


Saturday, July 3, 2010

Segarnya di Desa

Assalamualaikum....

Alhamdulillah, cuti sekolah yang lepas dapat juga balik kampung untuk jangkamasa yang agak lama samada di rumah mertua atau di kampung sendiri. Balik ke kampung, pagi2 lagi keluar rumah..subhanallah udaranya amat jauh berbeza dengan di kota. Sungguh nyaman dan segar. Walau pun pohon-pohonannya tidaklah serimbun di hutan tetapi sudah cukup memberi kesegaran di awal pagi. Setiap hari sepanjang berada di kampung saya akan keluar menghirup udara segar ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih mengurniakan nikmat hidup ini untuk terus menikmati nikmat ciptaan alam yang unik dan penuh rahsia ini.

“Lain udara dipagi hari di kampung berbanding dengan dibandar.” Bicara saya kepada ipar suatu pagi ketika beliau sedang bersiap untuk ke Pahang atas urusan kenduri.
Kalau di Bandar di waktu begini sudah mendengar deruan kereta yang beribu jumlahnya. Walaupun rumah bukan ditengah kota, namun kesegaran udara yang dirasa tetap tidak sama. Hutan batuan dan hutan pohonan manakan sama suasananya. Nikmat yang Allah kurniakan kepada diri ini hanyalah sekelumit cuma jika dibandingkan dengan nikmat Allah di alam ini. Tetapi bersyukurkah kita?

Firman Allah:

“Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?” (Surah Yassin: 73)

Firman Allah lagi :

“Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaan)-Nya ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) hanya sedikit sekali kamu bersyukur? (Surah As-Sajdah : 9)

Adakah kita tergolong ke dalam golongan yang kufur nikmat ini??? Nauzubillah….dengan segala nikmat yang diberikan tetapi masih lagi tidak bersyukur? Dengan segala macam yang telah Allah kurniakan dan berikan kepada kita….apa lagi yang kita rasa tidak mencukupi. Bila Allah berikan ujian sedikit, sudah lupa…yang kita fikirkan “Hai…mengapalah Allah bagi aku sakit?” Lebih mudah untuk kita mengeluh pada awalnya walau kita bersyukur kemudiannya.

Bersyukur bila sakit? Suatu yang pelik? Ya, bersyukur kerana Allah turunkan ujian kepada kita menunjukkan bahawa Allah sayang kepada kita. Setiap suatu Allah jadikan pasti ada sebabnya. Begitu juga dengan ujian yang Allah berikan kepada kita semua, pasti ada hikmahnya. Terimalah dengan positif ujian yang menimpa insyaAllah lebih banyak nikmat dan hikmah yang akan dirasakan.

“Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada diri ini untuk menghadapi segala ujian dan rintangan yang mendatang”












Gian tangan...

Assalamualaikum...

Dah lama tak dapat update blog ni...coz
1) Balik kampung agak lama masa cuti sekolah baru2 ni
2) Sibuk bertukar broadband dan sebagainya...sempat ngadap kejap2 tru hp suami. Itu pun untuk check email ajer.

Seronok pulak bila dah mula menulis dan dapat share ni. Tetapi yang perlu diingat ialah sejauh mana orang lain akan baca apa yang kita tulis dan apakah isi kandungan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Walaupun tak dapat update blog saya ni, tapi menulis juga apa yang terbuku di hati dan apa yang rasa nak diluahkan sementara dapat update. Alhamdulillah dapat jugak update blog walau pun tidak seberapa. Semoga memberi manfaat kepada diri sendiri dan jua yang membaca.

Sekadar pengalaman hidup sendiri dalam musafir hidup didunia ini. Mungkin ada juga terselit pengalaman orang lain yang dirasakan wajar, menarik dan dapat memberi manfaat kepada semua. Hidup sebagai khalifah memang penuh dengan pelbagai pancaroba. Ada yang manis danada yang pahit. Yang manis memang mudah untuk ditelan, tetapi yang pahit agak sukar. Pengalaman hidup inilah yang mengajar kita menjadi lebih matang dan menjadi lebih baik daripada semalam....insyaAllah.