Monday, May 31, 2010

Baitul Muslim (bahagian 2)

Sabagai tambahan dari bahagian 1, kepada adik2 dan rakan2 yang belum mendirikan rumahtangga fikirkanlah:

1. Hidup sementara, namun kesan amalan akan kekal selamanya. Fikirkanlah dosa dan pahala, syurga dan neraka. Tidak perlulah bersentuhan dengan pasanganmu yang belum ada ikatan yang sah.

2. Jauhilah perkara maksiat dan mungkar bercouple kerana ianya membuktikan betapa beraninya kita menderhakai Allah dan tidak TAKUT ALLAH.

3. Jangan berkahwin sekadar untuk mendapatkan sijil HALAL semata2. Fikirkanlah komitmen dan t/jawab yang berterusan selepas berkahwin dan bergelar suami isteri.

4. Adat2 perkahwinan yang tiada dlm tuntutan agama, sekiranya MAMPU untuk dielakkan, cubalah elakkan tetapi jika tidak, jangan pula mahu membuang ADAT sehingga membuang ADAB. Jangan dek kerana menegakkan AGAMA, kita hilang BUDI BAHASA. Perkahwinan akan mengikat dengan semua ahli keluarga, maka kita sering tersepit dan keliru antara ke2nya. (Oleh itu, pastikanlah generasi kita mengikut landasan seharusnya)

5. Pertunangan:

a. Tidak perlu dihebahkan untuk menjaga daripada hasad dengki menusia
b. Satu komitmen yang tidak pasti yang belum tentu berakhir dengan perkahwinan
c. Bukan tiket untuk melakukan perkara diluar batasan kerana masih bukan muhrim.
d. Medan ujian mengawal diri dan mengajar pasangan supaya bijak berkomunikasi dalam batasan
e. Tempoh untuk mengenali pasangan tetapi bukanlah sampai bergayut 2/3 jam atau pun hari2….Bersederhanalah
f. Masa untuk mempelajari ilmu rumahtangga juga ilmu untuk mengenali lelaki dan wanita…

P/S: Hati tenang dengan kebaikan manakala gelisah terhadap dosa dan kejahatan

Wednesday, May 26, 2010

Kereta masuk bengkel...manusia?

Assalamualaikum pembaca yang dirahmati Allah...

Kisah pertama:

“Bulan depan abang nak hantar kereta overhall. Dah sampai masanya masuk bengkel, abang dah budget bulan depan ni.” Kata suami suatu hari. Tetapi apa yang berlaku, belum pun sempat masuk bulan yang dimaksudkan kereta tersebut dah kena dimasukkan ke bengkel.

Kisah yang lain pulak…

Suatu hari officemate suami mengadu “En. Zul, air cond kereta rosak ler. Baiki habis juga lebih kurang RM500. Ingatkan nak tukar kereta baru”. Balas suami pula, “ Haaa, jangan sebut2 nak tukar kereta baru, nanti merajuk kereta tu pula”. Seloroh suami penuh makna. Selepas makan tengahari, officemate tadi balik dari makan. “En. Zul, kereta saya accident, saya terlanggar kereta orang tadi.” Katanya. “ Ha, kan saya dah cakap.” Balas suami.

Kisah ini membuatkan saya terfikirkan diri sendiri yang banyak perlu bermuhasabah dalam banyak perkara. “Kereta dah overhall, aku ni bila lagi? Bagaimanakah hubunganku dengan Allah, Penciptaku selama ini? Hati ini terutamanya perlu sangat2 di overhall.” Persoalan yang paling kerap bermain difikiran ini.

"Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku untuk terus beribadah dan menambahkan amal untukMu. Berikanlah kesabaran yang tinggi dalam menghadapi apa jua ujianMu. "


Ha…macammana nak overhall hati ni? Kalau overhall kereta perlukan duit, nak overhall hati ni? Duit tu tak perlu tapi perlu peruntukkan masa untuk mengeratkan hubungan dengan Allah. Aku harus tingkatkan amalan2ku. Tidak sekadar yang wajib, cuba biasakan yang sunat pulak. Tidak sekadar membaca al-quran, tapi cuba berusaha mantadabbur dan memahami isi kandungannya pulak. Banyakkan pulak pembacaan yang bermanfaat untuk pengisian akal supaya akal juga hidup. Memang semua ini perlu masa dan tidak boleh kedekutkan masa kerana akan merosakkan diri sendiri (kalau kedekut duit, kereta yang rosak).


Allah menciptakan manusia cukup sempurna dan tidak mungkin manusia mencipta sebaik ciptaan Allah. Allah mencipta dan menghidupkan kita dengan kurniaan akal untuk menjaga dengan baik ciptaanNya itu. Kalau kereta boleh rosak, maka manusia juga sama kereta ke2nya adalah bersifat baharu. Tugas kita ialah menjaga tubuh badan samada jasmani, rohani ataupun minda supaya dalam keadaan baik. Jangan pulak nak tunggu sampai hati/badan rosak…nauzubillah…baru nak masuk bengkel muhasabah kerana agak mengambil masa yang lama untuk dibaik pulih.

Manusia juga perlu diservis/dipantau kesihatan jasmani, rohani dan juga akalnya. Bermuhasabah sentiasa bagi memperbaiki diri. Badan perlu sihat untuk mudahkan kita beribadah dan membuat aktiviti seharian. Rohani juga perlu sihat (dengan jalinkan hubungan dengan Allah) supaya kita menunjukkan akhlak yang baik. Akal perlu sihat (dengan pengisian ilmu) untuk kita berfikir dan pertimbangkan setiap perkara yang kita buat supaya tidak melakukan amalan dosa dan maksiat. Sesungguhnya Allah menciptakan kita untuk beribadah kepadaNya. Firman Allah:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku.”
(Adz-Dzariyat : 56)

Dengan akal yang dikurniakan, semoga setiap aktiviti dan amal perbuatan kita seharian akan menjadi ibadah. Dari waktu kita celikkan mata diwaktu pagi sehinggalah kita menutup kembali di waktu malam…semoga diterima Allah sebagai ibadah.

Monday, May 24, 2010

Baitul Muslim (bahagian 1)

Assalamualaikum pembaca budiman...


Menyingkap karya Ustaz Hasrizal, Aku Terima Nikahnya…dapat muhasabah serba sedikit alam rumahtangga sendiri yang menjangkau hamper 8 tahun…Alhamdulillah. Semoga Allah memanjang usia ini untuk terus beribadah dan mengumpul pahala dan rahmatnya melalui perkahwinan ini. Banyak pengajaran yang diperolehi samada dari pengalaman penulis sendiri atau dari cerita yang dirungkai dalam buku ini.

Apa yang ditulis disini hanyalah sebagai rumusan yang diperolehi, ringkasan peribadi, rujukan sendiri dan juga peringatan di kemudian hari. Semoga menjadi sesuatu yang bernilai untuk dikongsi (atau pembaca boleh membaca buku ini sendiri…)

Bagi yang belum mendirikan rumahtangga:

1. Bagi yang belum berumahtangga, sebaiknya dapatkan restu/persetujuan dari ibu bapa atas pilihan jodoh yang telah dibuat. Ini adalah kerana

2. Pilih calon...kata Nabi.."pilihlah yang beragama....nescaya sejahtera hidupmu". Pilih calon bukanlah sekadar TAHU agama, tetapi adalah MAHU beragama (mahu menghayati) dan juga MAMPU dalam beragama (sentiasa mujahadah untuk belajar dan memperbaiki diri).

3. Hayati tabiat2 ini sebelum berumahtangga:
  • Mempunyai matlamat hidup yang jelas dan sikap yang betul terhadap kehidupan.
  • Tahu matlamat akhir dan kesan keputusan yang dibuat pada hari ini.
  • Tahu susun keutamaan berbekalkan sistem nilai dalam kehidupan.
  • Cenderung kpd penyelesaian dantidak menjadikan rumahtangga as gelanggang pertaruhan.
  • Berusaha untuk mendengar dan memahami, sebelum mengharapkan didengari dan difahami.

Bagi yang telah berumahtangga, renungilah:

1. Berumahtangga bukan sekadar untuk MENERIMA tetapi untuk MEMBERI iaitu memberi kasihsayang, perhatian, nafkah, kebaikan dan lain2). Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK semata yang tidak berkesudahan.

2. Dalam alam rumahtangga, kebaikan yang diperolehi hendaklah disyukuri, manakala kekurangan yang ada hendaklah diredhai.

3. Kebahagiaan rumahtangga tidak hanya terletak pada kuantiti masa bersama dengan keluarga tetapi kualiti masa ketika bersama.

4. Rumahtangga menggabungkan antara cinta, kasih sayang, tanggungjawab dan peranan. Semakin lama usia perkahwinan itu, sepatutnya menjadikan kita lebih matang menghadapi situasi yang menjadi lumrah dalam rumahtangga dan kehidupan.

5. Cinta sebenar lahir dari naluri dan emosi fitrah manusia diiringi rasional dan sedar diri tentang tanggungjawab.

6. Apabila suami isteri saling mengikat diri dan mendekatkan diri dengan Allah, maka apabila BERTEMU TAK JEMU dan bila BERPISAH TAK GELISAH.

7. Setiap insan yang dijadikan Allah samada lelaki atau pun perempuan adalah unik dan berbeza. Oleh itu iktiraflah kelebihan dan mengakui kelemahan/kekurangan akan menjadikan hidup kita lebih seimbang.

Banyak lagi pengajaran lain yang boleh diperolehi...

Saturday, May 15, 2010

Berani atau Takut?

Assalamualaikum....pembaca yang diredhai Allah.

Terkenangkan situasi dengan anak-anak yang kadang-kadang membuatkan kita terfikir dan mengambil iktibar dari sesuatu kejadian. Pada suatu petang:

“Naim tolong berikan bungkusan tu pada kawan di rumah atuknya.” Kata saya pada Naim, anak yang sulung. 3 kali dia berulang alik ke rumah jiran tu tapi tak berikan lagi bungkusan jajan untuk anak jiran.
“Umi la berikan.” Katanya sambil mengerutkan muka. Kemudian diajak pula adiknya temankan. “Naim ketuk pintu, beri salam dan hulurlah bungkusan tu,” balas saya.
“Ala umi ni…Naim takut la.”
“Apa Naim nak takutkan? Sepatutnya kita ni takut nak buat benda2 yang tak elok, perkara yang jahat dan perkara yang Allah tak suka. Ni kita nak buat baik…apa nak ditakutkan? Dapat pahala pulak tu.” Kata saya sambil tegak berdiri.
Sambil mulutnya mengomel2…“Ok…ok…Naim pergi. Haa, umi tengok Naim berani buat,” katanya. Terus pergi bagi salam dan hulurkan bungkusan tadi. Alhamdulillah…berani pun

Sambil bersendirian terfikir pulak apa yang dicakapkan pada anak petang tadi. Kita ni kadang2 takut tidak kena tempatnya. Begitu juga dengan malu yang sepatutnya perlu ada dalam diri setiap khalifah Allah tapi selalunya malu kita juga tak bertempat.

Takut melakukan kebaikan depan orang, nanti dikatakan menunjuk-nunjuk. Takut untuk tegur kesalahan atau kemaksiatan depan mata, nanti orang cakap pandai sangatkah kita ni. Takut mengajak orang melakukan kebaikan, ilmu tidak setinggi mana, nanti tunggu ilmu penuh didada baru boleh berdakwah dengan orang. Takut…takut….takut…kenapa pula kita tak berasa gentar atau takut sedikit pun apabila kita berbuat kemaksiatan dengan Allah? Itulah sebenar2 takut yang patut kita rasakan. “Takutlah kamu kepada Allah…” sering diulang sebut dalam Al-quran. Takut untuk menyampaikan Islam kerana ilmu tak banyak lagi, tapi persoalannya sampai bila ilmu kita akan penuh didada. Adakah tanda aras yang menunjukkan perkara ini???

Dalam konteks keusahawanan sekalipun…tak perlu tunggu kesempurnaan untuk melakukan sesuatu kerana dek menunggu sempurna suatu idea itu, akhirnya kita tidak melakukan apa-apa pun. Lakukan setakat yang kita mampu dan tahu, insyaAllah idea akan sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Dalam konteks dakwah pula, tak perlu tunggu dada penuh dengan ilmu syariah, ilmu dakwah, ilmu fiqh dan segala macam lagi baru nak mula berdakwah. Tetapi sesedarnya kita akan kewajipan ini maka mulakan langkah kita untuk menyampaikan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah. Walaupun tidak sehebat Rasulullah, tetapi sekurang-kurangnya kita menyambung perjuangan Rasulullah. InsyaAllah dengan sendirinya, kita akan sentiasa memperbaiki, mentarbiyah dan muhasabah kekurangan diri untuk memperelokkan penyampaian dan perjuangan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya” (An-Nazi’at : 40)

Takut yang sebenar-benarnya hanyalah kepada Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Apabila takut dengan Allah, secara automatik kita akan buat apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ini adalah kerana ketakutan itulah yang akan membuahkan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Semoga kita menjadi manusia yang seronok melakukan amal kebaikan dan bukannya leka dibuai amal kemaksiatan yang penghujungnya adalah neraka jahannam…nauzubillah….Ya Allah Ya tuhanku…cambahilah diriku ini dengan benih2 keberanian dan kekuatan sebagaimana Engkau berikan kepada Rasulullah S.A.W. dalam perjuangannya…amin.

Wednesday, May 12, 2010

Displin tu apa???

Assalamualaikum...pembaca yang disayangi Allah.

Suatu hari, sebaik pulang dari sekolah Naim bertanya, “Umi! Displin tu apa?” Saya terdiam seketika. “Kenapa Naim tanya?” Soal saya kembali. “Tadi di sekolah ada pameran polis. Polis tu tanya makna displin dan siapa yang dapat jawab dapat hadiah. Naim tak dapat jawab, tak dapat la hadiah. Tu la umi tak beritahu Naim displin tu apa.” Katanya.

“Displin tu maksudnya kita buat perkara yang sepatutnya pada masa yang sepatutnya.” Jawab saya ringkas. Mudah-mudahan difahami oleh anakku yang dipanggil Along Naim ini. “Naim mandi, solat, buat kerja sekolah, mengaji dan main pada masa yang sepatutnya itu maknanya Naim berdisplin.” Sambung saya, cuba memahamkannya lagi.

Ya Allah, bila anak cakap macam tu, terfikir sejenak “Tidakkah aku mengajar anak aku berdisplin?” Dalam kes Naim ni…mungkin yang ditanyakan polis itu adalah maksud/makna displin dan sukar baginya untuk memberikan jawapan berbentuk ayat lengkap memandangkan umurnya baru 7 tahun. Sebagai ibubapa, adakah kita sudah mengajar anak2 berdisplin? Secara sedar atau tidak kita mungkin sudah mengajar anak2 berdisplin walaupun tidak memberitahu secara lisan.

Bila terkenangkan kembali dalam proses membesarkan 3 orang anak (setakat ini), apabila anak sudah boleh berjalan, antara perkara pertama yang saya minta mereka lakukan ialah masukkan baju kedalam baldi apabila hendak mandi, membuang sampah kedalam tong sampah dan meletakkan botol susu dalam sinki selepas minum susu. Sehinggakan apabila saya memasukkan baju dan membuang sampah sendiri anak-anak akan merengek dan menangis kerana dia yang nak buat perkara tersebut (biasanya semasa anak yang berumur 3 tahun ke bawah). Ini adalah kerana mereka berasa seronok apabila kita bertepuk tangan dan memberikan sedikit pujian apabila melakukan sesuatu perkara. Apabila semakin membesar sudah pasti semakin banyak perkara yang telah kita aturkan dan ajarkan kepada mereka. Semoga itu menjadi satu pengajaran bagi anak2ku dalam mengenal erti displin.

Untuk mengajarkan anak berdisplin, tidak cukup sekadar kita memberitahu mereka apa yang patut mereka lakukan sedangkan kita sendiri tidak berdisplin dalam melakukan sesuatu perkara. Anak2 lebih mudah belajar dari tingkah-laku kita berbanding arahan atau suruhan yang kita berikan. Jangan sampai anak2 persoalkan kembali apa yang kita lakukan atau tidak lakukan terutama perkara2 yang kita nak mereka buat tapi kita sendiri tidak buat.

Contohnya, sebagai ibu bapa, kita mahu anak yang pandai mengaji dan kalau boleh nak khatam seawal yang mungkin. Acapkali kita menyuruh anak mengaji atau bertanyakan samada anak sudah mengaji atau pun belum…tapi kita sering lupa 1 perkara iaitu sudahkah kita bertanyakan diri kita sendiri, samada kita sudah menyelak lembaran masyaf Al-Quran atau belum?

Meminjam kata2 Ustaz Hasrizal ketika beliau memberikan ceramahnya di Doha (semoga diizinkan…sekadar menjadi peringatan untuk diri dan pembaca). Katanya diakhir sesi tersebut:

“Children might fail to follow our word but they will never fail to follow our action. If you want to be listened, listen first. If you want to be respected, respect first. Teach your children with actions and if you want to deliver a message, be the message.”

Inilah yang selalu kita cakap atau sembang2kan…cakap dengan mulut memang senang tapi kalau nak buat bukan main susah lagi. Semoga diberikan kemudahan kepada kita semua untuk melakukan banyak kebaikan dan diberikan kekuatan untuk menghindarkan diri dari sebanyak mungkin kemaksiatan….amin.

Monday, May 3, 2010

Pengalaman orang diambil pengajaran

Assalamualaikum...

Menyingkap buku yang dibaca…karya Ustaz Hasrizal, Rindu Bau Pohon Tin yang ditulis sempena pengalaman beliau menimba ilmu di bumi Jordan. Menuntut ilmu di bumi Mu’tah, tempat berlakunya peperangan mu’tah. Tempat dimana syahid sahabat2 utama Rasulullah antaranya Harith bin Harithah, Ja’far bin abi Talib dan Abdullah bin Rawahah. Kesemua mereka ini memegang panji Islam semasa peperangan dan bertukar tangan dari seorang kepada yang lain selepas syahid di medan petempuran. Peperangan 3 ribu askar Islam menentang tentera musuh seramai ratusan ribu orang.


Apa yang menjadi peringatan oleh Rasulullah ialah bahawasanya Islam bukanlah tertegak dengan mata pedang kerana perang merupakan langkah yang terakhir. Rasulullah berpesan kepada sahabat supaya menyeru dahulu musuh supaya menerima Islam, dan jika mereka menolak dan mengkhianati barulah mulakan dengan perang. Begitulah hikmahnya Rasulullah yang agung dalam memastikan Islam tersebar terlebih dahulu berbanding untuk melakukan pertumpahan darah walaupun dengan musuh dihadapan mata.

Bila terbaca sedikit cuma tentang para sahabat nabi, terasa naifnya diri kerana betapa kurang ilmu dan pengetahuan tentang sejarah dan sirah para sahabat dan para Nabi (maknanya perlu tambahkan lagi pembacaan untuk menambah ilmu didada)

Walau pun membaca tentang pengalaman orang lain dalam buku ini, terdapat banyak pengajaran dan peringatan yang boleh diambil iktibar. Yang menyentuh hati ini dan boleh diambil iktibar untuk muhasabah diri antaranya ialah:

1. Berdoalah dalam bahasa yang kita fahami kerana Allah memahami apa sahaja bahasa yang kita tuturkan. Jangan sampai doa panjang berjela tetapi tidak difahami maknanya.

2. Dalam Islam tiada titik pertengahan antara kebenaran dan kebatilan. Firman Allah:
“Dan janganlah kamu campur adukkan kebenaran dan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah : 42)
Pilihlah kamu antara 2…Islam atau Jahil????

3. No pain, no gain….ini boleh digunapakai dalam kehidupan seharian samada pelajar atau pun sesiapa sahaja. Untuk mendapatkan ilmu (atau apa jua) kita perlu berusaha dan dalam usaha itu pasti akan jerih payah dan cabaran yang perlu dilalui. Dimana ada kemahuan disitu ada jalan.

4. Hiduplah kita didunia ini untuk menyembah Allah dan beribadah kepadaNya bukan menjadi musuh Allah. Firman Allah :
Tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.”
(surah Adz-Dzariyat : 56)

5. Sabar dan berhikmah dalam berdakwah kerana dakwah tanpa hikmah akan lebih merosakkan daripada memperelokkan.

6. Belajar menjadi khalifah Allah yang menghargai dan memuliakan air sebagai keperluan asas kehidupan. Firman Allah:
Kami jadikan daripada air, tiap-tiao benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiya : 30)

Latih diri dan keluarga supaya mempunyai akhlak yang betul dalam penggunaan air. Sabda Rasulullah :
Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Baginda SAW pada suatu ketika melintasi Saad ibn Abi Waqqas yang sedang berwuduk dengan menggunakan air yang banyak. Lalu Baginda bertanya, “Mengapakah dengan pembaziran ini?” Saad bertanya kepada Bagind: Apakah dalam soal berwuduk pun dikira pembaziran? Baginda SAW menjawab, “Ya, (membazir tetap membazir), walaupun kamu berada di sungai yang mengalir.” (Riawayat Ibn Majah)

7. Buat persediaan untuk menghadapi hari pengakhiran yang pasti akan tiba.
Gembala-gembala kambing berlumba meninggikan bangunan,” ungkap Rasulullah SAW tentang petanda akhir zaman. Ungkapan Rasulullah tentang kabilah gembala kambing dan unta meninggikan bangunan adalah merujuk kepada metafora pembangunan ekstrim dikalangan pemerintah negara Teluk untuk menjadi ‘Tertinggi…terbesar…terpanjang….dan lain-lain lagi. Ini menjadi petanda kepada kehancuran hidup disamping fenomena2 lain yang muncul.

Semoga kita sama2 mengambil iktibar dan sentiasa muhasabah diri untuk menghadapi hari2 mendatang terutamanya hari akhirat kelak….wassalam.