Wednesday, July 21, 2010

Bersikap Ihsan

Assalamualaikum...

Ssedikit santapan rohari untuk hari ini...semoga mendapat kebaikan dan memperbanyakkan kebaikan untuk diri dan juga orang lain.
Hadis Rasulullah S.A.W. :

"Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan atas setiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhannya. Dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihannya. Dan hendaklah salah seorang dari kamu menajamkan mata pisaunya, dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihannya."

(diriwayatkan oleh Muslim)

Bersifat ihsan maknanya disini berbuat kebaikan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Berbuat kebaikan kepada ibubapa, jiran tetangga, rakan sepejabat, anak2 tersayang, suami tercinta, binatang kesayangan dan lain2 perkara sekeliling kita. Berbuat naik tidak hanya pada manusia, tetapi tuntutannya adalah atas setiap suatu....termasuk juga haiwan dan juga tumbuhan.

Sehinggakan dalam urusan pembunuhan (iaitu hukuman bunuh) pun perlu adanya sifat ihsan. Dilarang membunuh dengan cara kekejaman dan menyiksanya terlebih dahulu sebelum mati. Juga tidak boleh membunuh dengan cara membakar dengan api kerana rasulullah pernah melarang "Janganlah kamu menyiksa dengan azab Allah" iaitu api.

Dalam urusan penyembelihan pun perlu ada sifat ihsan. Dilarang menyiksa binatang sebelum disembelih samada boleh membunuh atau pun tidak. Daripada hadis di atas, hendaklah menajamkan pisau supaya tidak menyakitkan binatang, mempercepatkan dan memudahkan proses penyembelihan. Juga hendaklah diberikan minuman sebelum disembelih. Cara dibawa ke tempat penyembelihan pun tidak boleh berkasar atau pun menyakitkan badan binatang tersebut.

Itu adalah huraian ringkas daripada hadis diatas. Mungkin ada yang sudah mengetahui...ini sekadar mengingatkan kembali...Islam yang membawa erti Ihsan. Berbuat kebaikan yang tidak akan merosakkan, menyakitkan dan membahayakan. Ini membuktikan Islam amat menekankan nilai kasih sayang bukan sahaja sesama manusia tetapi juga alam sekeliling, meliputi sekalian makhluk samada yang hidup ataupun yang akan mati (manusia yang akan dihukum bunuh dan binatang yang akan disembelih)

Semoga aktiviti pada hari ini dan hari2 berikutnya akan dipenuhi dengan nilai kebaikan. Sesungguhya balasan kebaikan insyaAllah akan dibalas juga dengan kebaikan dunia dan akhirat....amin.


Sunday, July 18, 2010

Ujian Allah sebagai peringatan

Assalamualaikum....

Satu kenangan yang pasti tidak akan dapat dilupakan....naluri keibuan saya diuji dengan kehilangan anak ketika pergi membeli belah di Ampang. Walaupun kehilangan anak yang ke-3, Muhammad Al-Amin tak sampai pun 1/2 jam, tapi peringatan Allah ini cukup hebat kesannya.

Lutut rasa lemah dan longlai, kepala naik pusing dan mulut ni tak henti2 berdoa pada Allah....Beginilah agaknya rasa nak pitam, tapi dikuatkan kaki untuk berlari kesana kemari untuk mencari bersama suami. Tempat yang dituju adalah tempat2 yang menjadi favorite hentiannya kalau pergi ke pusat membeli-belah. Area yang ada permainan kanak2...tapi tak ada. Alhamdulillah ingatan suami pada 1 lagi tempat yang selalu menjadi hentian dan tumpuannya iaitu bahagian menjual ikan dan sayur. Hentiannya adalah aquarium yang diletakkan ikan hidup didalamnya. Berdiri tegak di situ sambil melihat ikan berenang....alhamdulillah...terima kasih ya Allah. Peringatan yang cukup memberi erti buat diri ini....

Takes time lepas tu untuk berbicara mengenai perkara ini dengan sesiapapun termasuk parents. Bila bercakap dan mengingatkan balik, lutut kembali menjadi lemah. Terdiam buat seketika, yang diingat ialah Tuhan Maha Berkuasa dan hikmah disebalik kejadian. Tak dapat membayangkan perasaan ibu bapa yang kehilangan anak dalam jangkamasa yang begitu lama...tapi sekembalinya pula dalam keadaan yang tidak dijangka....na'uzubillah.....


Wajah anak2 tersayang....semoga Allah melindungi kalian

Peringatan yang paling kuat ialah supaya lebih mendekatkan diri kepadaNya yang Esa...yang Maha Mengetahui segala-galanya.

"kecuali jika Allah mengkehendaki. Sungguh, Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi" (Al-A'la : 7)

Ya Allah, Engkau mengetahui segalanya, maka berikanlah kekuatan kepadaku untuk menghadapi segala ujian dan dugaanMu. Berikanlah kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk terus lebih menghampiriMu sepanjang masa....amin...


Monday, July 5, 2010

Persaudaraan Islam...Kawan Mak Ayah

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, pada tahun lepas ke2 ibubapa telah selamat menunaikan haji di tanah suci. Mereka adalah antara kumpulan jemaah haji yang terawal bertolak dari Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Kepulangan mereka pula ditangguhkan selama 10 hari dari tarikh yang asal. Bila sembang2 dengan Mak Cik dan Pak Cik yang pernah pergi ke Mekah, memang amat dinantikan jika dapat penangguhan untuk pulang ke tanahair. Ini semua kerana hati yang dah terasa berat dan sayang untuk meninggalkan tanah suci. Alhamdulillah semoga ianya dapat meningkatkan dan menambahkan amal ke2 ibubapaku. Pemergian mereka ke tanah suci saya iringi dengan doa dan kesyukuran kerana ianya merupakan tawaran kali ke-4 oleh pihak tabung haji. Atas sebab tertentu tawaran sebelumnya telah ditolak dan Alhamdulillah Allah masih lagi memberi peluang kepada mereka.

Walaupun sudah 8 bulan berlalu, apa yang membuatkan hati ini tersentuh ialah hubungan mereka dengan rakan2 sebilik yang terjalin semasa sama2 menunaikan haji. Hubungan yang terjalin agak begitu singkat, tetapi berterusan sehingga kembali ke tanahair. Kawan2 yang tidak mengenali antara satu sama lain dapat menjalinkan suatu ikatan yang murni dan erat….alhamdulillah. Mereka saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Saya juga sempat mengikut ibubapa menziarahi kawan mereka di Perlis ketika melawat nenek saudara di Rumah Sri Kenangan disana.


Persaudaraan Islam diawali melalui interaksi antara manusia sebagai satu fitrah dan diwarnai dengan berbaik sangka dan damainya hati dengan interaksi itu.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu(yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(al-Hujurat 49 :10)

Firman Allah lagi:

“Wahai manusia! Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
(al-Hujurat 49 : 13)


Saturday, July 3, 2010

Segarnya di Desa

Assalamualaikum....

Alhamdulillah, cuti sekolah yang lepas dapat juga balik kampung untuk jangkamasa yang agak lama samada di rumah mertua atau di kampung sendiri. Balik ke kampung, pagi2 lagi keluar rumah..subhanallah udaranya amat jauh berbeza dengan di kota. Sungguh nyaman dan segar. Walau pun pohon-pohonannya tidaklah serimbun di hutan tetapi sudah cukup memberi kesegaran di awal pagi. Setiap hari sepanjang berada di kampung saya akan keluar menghirup udara segar ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih mengurniakan nikmat hidup ini untuk terus menikmati nikmat ciptaan alam yang unik dan penuh rahsia ini.

“Lain udara dipagi hari di kampung berbanding dengan dibandar.” Bicara saya kepada ipar suatu pagi ketika beliau sedang bersiap untuk ke Pahang atas urusan kenduri.
Kalau di Bandar di waktu begini sudah mendengar deruan kereta yang beribu jumlahnya. Walaupun rumah bukan ditengah kota, namun kesegaran udara yang dirasa tetap tidak sama. Hutan batuan dan hutan pohonan manakan sama suasananya. Nikmat yang Allah kurniakan kepada diri ini hanyalah sekelumit cuma jika dibandingkan dengan nikmat Allah di alam ini. Tetapi bersyukurkah kita?

Firman Allah:

“Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?” (Surah Yassin: 73)

Firman Allah lagi :

“Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaan)-Nya ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) hanya sedikit sekali kamu bersyukur? (Surah As-Sajdah : 9)

Adakah kita tergolong ke dalam golongan yang kufur nikmat ini??? Nauzubillah….dengan segala nikmat yang diberikan tetapi masih lagi tidak bersyukur? Dengan segala macam yang telah Allah kurniakan dan berikan kepada kita….apa lagi yang kita rasa tidak mencukupi. Bila Allah berikan ujian sedikit, sudah lupa…yang kita fikirkan “Hai…mengapalah Allah bagi aku sakit?” Lebih mudah untuk kita mengeluh pada awalnya walau kita bersyukur kemudiannya.

Bersyukur bila sakit? Suatu yang pelik? Ya, bersyukur kerana Allah turunkan ujian kepada kita menunjukkan bahawa Allah sayang kepada kita. Setiap suatu Allah jadikan pasti ada sebabnya. Begitu juga dengan ujian yang Allah berikan kepada kita semua, pasti ada hikmahnya. Terimalah dengan positif ujian yang menimpa insyaAllah lebih banyak nikmat dan hikmah yang akan dirasakan.

“Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada diri ini untuk menghadapi segala ujian dan rintangan yang mendatang”












Gian tangan...

Assalamualaikum...

Dah lama tak dapat update blog ni...coz
1) Balik kampung agak lama masa cuti sekolah baru2 ni
2) Sibuk bertukar broadband dan sebagainya...sempat ngadap kejap2 tru hp suami. Itu pun untuk check email ajer.

Seronok pulak bila dah mula menulis dan dapat share ni. Tetapi yang perlu diingat ialah sejauh mana orang lain akan baca apa yang kita tulis dan apakah isi kandungan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Walaupun tak dapat update blog saya ni, tapi menulis juga apa yang terbuku di hati dan apa yang rasa nak diluahkan sementara dapat update. Alhamdulillah dapat jugak update blog walau pun tidak seberapa. Semoga memberi manfaat kepada diri sendiri dan jua yang membaca.

Sekadar pengalaman hidup sendiri dalam musafir hidup didunia ini. Mungkin ada juga terselit pengalaman orang lain yang dirasakan wajar, menarik dan dapat memberi manfaat kepada semua. Hidup sebagai khalifah memang penuh dengan pelbagai pancaroba. Ada yang manis danada yang pahit. Yang manis memang mudah untuk ditelan, tetapi yang pahit agak sukar. Pengalaman hidup inilah yang mengajar kita menjadi lebih matang dan menjadi lebih baik daripada semalam....insyaAllah.

Thursday, June 3, 2010

Baitul Muslim (bahagian 3)

Assalamualaikum pembaca budiman...


Untuk difikirkan bersama; Melahirkan anak2 yang ramai mungkin mudah dan dapat meramaikan umat Islam, tetapi mampukah kita memberikan didikan yang sebaiknya untuk menjadikan mereka umat Nabi Muhammad yang sebenar dengan memberikan mereka bekalan iman yang secukupnya kepada mereka? Disinilah kepentingan TARBIYAH yang berterusan kepada ibubapa dan juga anak2.

Dapat juga dicungkil dari pembacaan ini sedikit sebanyak peringatan bagi diri ini tentang PERANAN sebagai ibu bapa dan juga sebagai seorang anak.



Sebagai ibubapa:

1. Memberikan NAMA yang baik kepada anak2. Tidak lupa pula memberikan didikan yang sebaik mungkin sesuai nama yang telah diberikan. Kata ustaz…jangan pula nama ‘Hidayah’ tetapi mempromosikan ‘Jahiliyah’.

2. Memberikan PANGGILAN pangkat kepada anak2 (seperti Along, Angah dan lain2) bukanlah sekadar panggilan semata2 tetapi akan membantu anak2 lebih mematangkan diri dan rasa tanggungjawab.

3. Memberikan KEPERLUAN FIZIKAL (seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dll). Jangan lupa juga KEPERLUAN ROHANI/EMOSI (kasih sayang) dan KEPERLUAN MINDA (bekalan pendidikan).

4. Belajarlah MENDENGAR PANDANGAN anak2 jika mahu anak2 mendengar kata. Anak2 mungkin gagal mengikut arahan ibubapa tetapi tidak pernah gagal untuk meniru perbuatan kita.

5. BERSABARlah dengan kerenah anak2. Janganlah mematikan potensi anak2 dek kerana kemalasan ibubapa (biasanya yang suka banyak bertanya itu dan ini...layanlah seboleh yang mungkin agar mereka tidak merasa tersisih dan terbiar).

6. Menjadi seorang yang PEMAAF atas kesalahan yang dilakukan anak2. Tetapi bukanlah bermaksud sehingga membiarkan kesalahan berulang2 kali tanpa ada sebarang teguran dan tunjuk ajar. Ibubapa juga seharusnya tidak segan silu memohon maaf dari anak jika sememangnya melakukan kesalahan (as manusia biasa memang tak lepas dari kesilapan)

7. Lemparkanlah KASIH SAYANG kepada anak2 tanpa sebarang SYARAT dengan tidak mengharapkan apa2 balasan dari anak2 atas apa yang telah kita lakukan kerana ianya adalah tanggungjawab.

Sebagai anak pula:

1. Banyakkan BERDOA untuk ibubapa samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

2. Cuba kenangkan setiap NASIHAT ibu bapa. Jika tidak pun cubalah huraikan maksud2 tersirat disebalik setiap tindakan ibu dan bapa.

3. TIDAK MENIPU ke2 ibubapa jika melakukan kesalahan sebaliknya mengakui kesalahan itu dan cuba perbetulkan atau tidak mengulangi lagi.

4. Mohon KEMAAFAN dari ibubapa jika melakukan sebarang kesalahan

5. Mengawal SUARA ketika berbicara dengan ibubapa

6. Cuba sebaik mungkin untuk mengelakkan dari perbuatan atau berbicara perkara yang boleh mengguris perasaan ibubapa. Adakala ibubapa terguris dalam diam (inilah yang paling ditakuti kerana kita tidak sedar ianya berlaku…pohon maaf senantiasa)


Ini adalah sekadar sebahagian peranan yang dituliskan disini....ada banyak lagi yang boleh difikirkan bersama...

Monday, May 31, 2010

Baitul Muslim (bahagian 2)

Sabagai tambahan dari bahagian 1, kepada adik2 dan rakan2 yang belum mendirikan rumahtangga fikirkanlah:

1. Hidup sementara, namun kesan amalan akan kekal selamanya. Fikirkanlah dosa dan pahala, syurga dan neraka. Tidak perlulah bersentuhan dengan pasanganmu yang belum ada ikatan yang sah.

2. Jauhilah perkara maksiat dan mungkar bercouple kerana ianya membuktikan betapa beraninya kita menderhakai Allah dan tidak TAKUT ALLAH.

3. Jangan berkahwin sekadar untuk mendapatkan sijil HALAL semata2. Fikirkanlah komitmen dan t/jawab yang berterusan selepas berkahwin dan bergelar suami isteri.

4. Adat2 perkahwinan yang tiada dlm tuntutan agama, sekiranya MAMPU untuk dielakkan, cubalah elakkan tetapi jika tidak, jangan pula mahu membuang ADAT sehingga membuang ADAB. Jangan dek kerana menegakkan AGAMA, kita hilang BUDI BAHASA. Perkahwinan akan mengikat dengan semua ahli keluarga, maka kita sering tersepit dan keliru antara ke2nya. (Oleh itu, pastikanlah generasi kita mengikut landasan seharusnya)

5. Pertunangan:

a. Tidak perlu dihebahkan untuk menjaga daripada hasad dengki menusia
b. Satu komitmen yang tidak pasti yang belum tentu berakhir dengan perkahwinan
c. Bukan tiket untuk melakukan perkara diluar batasan kerana masih bukan muhrim.
d. Medan ujian mengawal diri dan mengajar pasangan supaya bijak berkomunikasi dalam batasan
e. Tempoh untuk mengenali pasangan tetapi bukanlah sampai bergayut 2/3 jam atau pun hari2….Bersederhanalah
f. Masa untuk mempelajari ilmu rumahtangga juga ilmu untuk mengenali lelaki dan wanita…

P/S: Hati tenang dengan kebaikan manakala gelisah terhadap dosa dan kejahatan

Wednesday, May 26, 2010

Kereta masuk bengkel...manusia?

Assalamualaikum pembaca yang dirahmati Allah...

Kisah pertama:

“Bulan depan abang nak hantar kereta overhall. Dah sampai masanya masuk bengkel, abang dah budget bulan depan ni.” Kata suami suatu hari. Tetapi apa yang berlaku, belum pun sempat masuk bulan yang dimaksudkan kereta tersebut dah kena dimasukkan ke bengkel.

Kisah yang lain pulak…

Suatu hari officemate suami mengadu “En. Zul, air cond kereta rosak ler. Baiki habis juga lebih kurang RM500. Ingatkan nak tukar kereta baru”. Balas suami pula, “ Haaa, jangan sebut2 nak tukar kereta baru, nanti merajuk kereta tu pula”. Seloroh suami penuh makna. Selepas makan tengahari, officemate tadi balik dari makan. “En. Zul, kereta saya accident, saya terlanggar kereta orang tadi.” Katanya. “ Ha, kan saya dah cakap.” Balas suami.

Kisah ini membuatkan saya terfikirkan diri sendiri yang banyak perlu bermuhasabah dalam banyak perkara. “Kereta dah overhall, aku ni bila lagi? Bagaimanakah hubunganku dengan Allah, Penciptaku selama ini? Hati ini terutamanya perlu sangat2 di overhall.” Persoalan yang paling kerap bermain difikiran ini.

"Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku untuk terus beribadah dan menambahkan amal untukMu. Berikanlah kesabaran yang tinggi dalam menghadapi apa jua ujianMu. "


Ha…macammana nak overhall hati ni? Kalau overhall kereta perlukan duit, nak overhall hati ni? Duit tu tak perlu tapi perlu peruntukkan masa untuk mengeratkan hubungan dengan Allah. Aku harus tingkatkan amalan2ku. Tidak sekadar yang wajib, cuba biasakan yang sunat pulak. Tidak sekadar membaca al-quran, tapi cuba berusaha mantadabbur dan memahami isi kandungannya pulak. Banyakkan pulak pembacaan yang bermanfaat untuk pengisian akal supaya akal juga hidup. Memang semua ini perlu masa dan tidak boleh kedekutkan masa kerana akan merosakkan diri sendiri (kalau kedekut duit, kereta yang rosak).


Allah menciptakan manusia cukup sempurna dan tidak mungkin manusia mencipta sebaik ciptaan Allah. Allah mencipta dan menghidupkan kita dengan kurniaan akal untuk menjaga dengan baik ciptaanNya itu. Kalau kereta boleh rosak, maka manusia juga sama kereta ke2nya adalah bersifat baharu. Tugas kita ialah menjaga tubuh badan samada jasmani, rohani ataupun minda supaya dalam keadaan baik. Jangan pulak nak tunggu sampai hati/badan rosak…nauzubillah…baru nak masuk bengkel muhasabah kerana agak mengambil masa yang lama untuk dibaik pulih.

Manusia juga perlu diservis/dipantau kesihatan jasmani, rohani dan juga akalnya. Bermuhasabah sentiasa bagi memperbaiki diri. Badan perlu sihat untuk mudahkan kita beribadah dan membuat aktiviti seharian. Rohani juga perlu sihat (dengan jalinkan hubungan dengan Allah) supaya kita menunjukkan akhlak yang baik. Akal perlu sihat (dengan pengisian ilmu) untuk kita berfikir dan pertimbangkan setiap perkara yang kita buat supaya tidak melakukan amalan dosa dan maksiat. Sesungguhnya Allah menciptakan kita untuk beribadah kepadaNya. Firman Allah:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku.”
(Adz-Dzariyat : 56)

Dengan akal yang dikurniakan, semoga setiap aktiviti dan amal perbuatan kita seharian akan menjadi ibadah. Dari waktu kita celikkan mata diwaktu pagi sehinggalah kita menutup kembali di waktu malam…semoga diterima Allah sebagai ibadah.

Monday, May 24, 2010

Baitul Muslim (bahagian 1)

Assalamualaikum pembaca budiman...


Menyingkap karya Ustaz Hasrizal, Aku Terima Nikahnya…dapat muhasabah serba sedikit alam rumahtangga sendiri yang menjangkau hamper 8 tahun…Alhamdulillah. Semoga Allah memanjang usia ini untuk terus beribadah dan mengumpul pahala dan rahmatnya melalui perkahwinan ini. Banyak pengajaran yang diperolehi samada dari pengalaman penulis sendiri atau dari cerita yang dirungkai dalam buku ini.

Apa yang ditulis disini hanyalah sebagai rumusan yang diperolehi, ringkasan peribadi, rujukan sendiri dan juga peringatan di kemudian hari. Semoga menjadi sesuatu yang bernilai untuk dikongsi (atau pembaca boleh membaca buku ini sendiri…)

Bagi yang belum mendirikan rumahtangga:

1. Bagi yang belum berumahtangga, sebaiknya dapatkan restu/persetujuan dari ibu bapa atas pilihan jodoh yang telah dibuat. Ini adalah kerana

2. Pilih calon...kata Nabi.."pilihlah yang beragama....nescaya sejahtera hidupmu". Pilih calon bukanlah sekadar TAHU agama, tetapi adalah MAHU beragama (mahu menghayati) dan juga MAMPU dalam beragama (sentiasa mujahadah untuk belajar dan memperbaiki diri).

3. Hayati tabiat2 ini sebelum berumahtangga:
  • Mempunyai matlamat hidup yang jelas dan sikap yang betul terhadap kehidupan.
  • Tahu matlamat akhir dan kesan keputusan yang dibuat pada hari ini.
  • Tahu susun keutamaan berbekalkan sistem nilai dalam kehidupan.
  • Cenderung kpd penyelesaian dantidak menjadikan rumahtangga as gelanggang pertaruhan.
  • Berusaha untuk mendengar dan memahami, sebelum mengharapkan didengari dan difahami.

Bagi yang telah berumahtangga, renungilah:

1. Berumahtangga bukan sekadar untuk MENERIMA tetapi untuk MEMBERI iaitu memberi kasihsayang, perhatian, nafkah, kebaikan dan lain2). Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK semata yang tidak berkesudahan.

2. Dalam alam rumahtangga, kebaikan yang diperolehi hendaklah disyukuri, manakala kekurangan yang ada hendaklah diredhai.

3. Kebahagiaan rumahtangga tidak hanya terletak pada kuantiti masa bersama dengan keluarga tetapi kualiti masa ketika bersama.

4. Rumahtangga menggabungkan antara cinta, kasih sayang, tanggungjawab dan peranan. Semakin lama usia perkahwinan itu, sepatutnya menjadikan kita lebih matang menghadapi situasi yang menjadi lumrah dalam rumahtangga dan kehidupan.

5. Cinta sebenar lahir dari naluri dan emosi fitrah manusia diiringi rasional dan sedar diri tentang tanggungjawab.

6. Apabila suami isteri saling mengikat diri dan mendekatkan diri dengan Allah, maka apabila BERTEMU TAK JEMU dan bila BERPISAH TAK GELISAH.

7. Setiap insan yang dijadikan Allah samada lelaki atau pun perempuan adalah unik dan berbeza. Oleh itu iktiraflah kelebihan dan mengakui kelemahan/kekurangan akan menjadikan hidup kita lebih seimbang.

Banyak lagi pengajaran lain yang boleh diperolehi...

Saturday, May 15, 2010

Berani atau Takut?

Assalamualaikum....pembaca yang diredhai Allah.

Terkenangkan situasi dengan anak-anak yang kadang-kadang membuatkan kita terfikir dan mengambil iktibar dari sesuatu kejadian. Pada suatu petang:

“Naim tolong berikan bungkusan tu pada kawan di rumah atuknya.” Kata saya pada Naim, anak yang sulung. 3 kali dia berulang alik ke rumah jiran tu tapi tak berikan lagi bungkusan jajan untuk anak jiran.
“Umi la berikan.” Katanya sambil mengerutkan muka. Kemudian diajak pula adiknya temankan. “Naim ketuk pintu, beri salam dan hulurlah bungkusan tu,” balas saya.
“Ala umi ni…Naim takut la.”
“Apa Naim nak takutkan? Sepatutnya kita ni takut nak buat benda2 yang tak elok, perkara yang jahat dan perkara yang Allah tak suka. Ni kita nak buat baik…apa nak ditakutkan? Dapat pahala pulak tu.” Kata saya sambil tegak berdiri.
Sambil mulutnya mengomel2…“Ok…ok…Naim pergi. Haa, umi tengok Naim berani buat,” katanya. Terus pergi bagi salam dan hulurkan bungkusan tadi. Alhamdulillah…berani pun

Sambil bersendirian terfikir pulak apa yang dicakapkan pada anak petang tadi. Kita ni kadang2 takut tidak kena tempatnya. Begitu juga dengan malu yang sepatutnya perlu ada dalam diri setiap khalifah Allah tapi selalunya malu kita juga tak bertempat.

Takut melakukan kebaikan depan orang, nanti dikatakan menunjuk-nunjuk. Takut untuk tegur kesalahan atau kemaksiatan depan mata, nanti orang cakap pandai sangatkah kita ni. Takut mengajak orang melakukan kebaikan, ilmu tidak setinggi mana, nanti tunggu ilmu penuh didada baru boleh berdakwah dengan orang. Takut…takut….takut…kenapa pula kita tak berasa gentar atau takut sedikit pun apabila kita berbuat kemaksiatan dengan Allah? Itulah sebenar2 takut yang patut kita rasakan. “Takutlah kamu kepada Allah…” sering diulang sebut dalam Al-quran. Takut untuk menyampaikan Islam kerana ilmu tak banyak lagi, tapi persoalannya sampai bila ilmu kita akan penuh didada. Adakah tanda aras yang menunjukkan perkara ini???

Dalam konteks keusahawanan sekalipun…tak perlu tunggu kesempurnaan untuk melakukan sesuatu kerana dek menunggu sempurna suatu idea itu, akhirnya kita tidak melakukan apa-apa pun. Lakukan setakat yang kita mampu dan tahu, insyaAllah idea akan sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Dalam konteks dakwah pula, tak perlu tunggu dada penuh dengan ilmu syariah, ilmu dakwah, ilmu fiqh dan segala macam lagi baru nak mula berdakwah. Tetapi sesedarnya kita akan kewajipan ini maka mulakan langkah kita untuk menyampaikan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah. Walaupun tidak sehebat Rasulullah, tetapi sekurang-kurangnya kita menyambung perjuangan Rasulullah. InsyaAllah dengan sendirinya, kita akan sentiasa memperbaiki, mentarbiyah dan muhasabah kekurangan diri untuk memperelokkan penyampaian dan perjuangan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya” (An-Nazi’at : 40)

Takut yang sebenar-benarnya hanyalah kepada Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Apabila takut dengan Allah, secara automatik kita akan buat apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ini adalah kerana ketakutan itulah yang akan membuahkan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Semoga kita menjadi manusia yang seronok melakukan amal kebaikan dan bukannya leka dibuai amal kemaksiatan yang penghujungnya adalah neraka jahannam…nauzubillah….Ya Allah Ya tuhanku…cambahilah diriku ini dengan benih2 keberanian dan kekuatan sebagaimana Engkau berikan kepada Rasulullah S.A.W. dalam perjuangannya…amin.

Wednesday, May 12, 2010

Displin tu apa???

Assalamualaikum...pembaca yang disayangi Allah.

Suatu hari, sebaik pulang dari sekolah Naim bertanya, “Umi! Displin tu apa?” Saya terdiam seketika. “Kenapa Naim tanya?” Soal saya kembali. “Tadi di sekolah ada pameran polis. Polis tu tanya makna displin dan siapa yang dapat jawab dapat hadiah. Naim tak dapat jawab, tak dapat la hadiah. Tu la umi tak beritahu Naim displin tu apa.” Katanya.

“Displin tu maksudnya kita buat perkara yang sepatutnya pada masa yang sepatutnya.” Jawab saya ringkas. Mudah-mudahan difahami oleh anakku yang dipanggil Along Naim ini. “Naim mandi, solat, buat kerja sekolah, mengaji dan main pada masa yang sepatutnya itu maknanya Naim berdisplin.” Sambung saya, cuba memahamkannya lagi.

Ya Allah, bila anak cakap macam tu, terfikir sejenak “Tidakkah aku mengajar anak aku berdisplin?” Dalam kes Naim ni…mungkin yang ditanyakan polis itu adalah maksud/makna displin dan sukar baginya untuk memberikan jawapan berbentuk ayat lengkap memandangkan umurnya baru 7 tahun. Sebagai ibubapa, adakah kita sudah mengajar anak2 berdisplin? Secara sedar atau tidak kita mungkin sudah mengajar anak2 berdisplin walaupun tidak memberitahu secara lisan.

Bila terkenangkan kembali dalam proses membesarkan 3 orang anak (setakat ini), apabila anak sudah boleh berjalan, antara perkara pertama yang saya minta mereka lakukan ialah masukkan baju kedalam baldi apabila hendak mandi, membuang sampah kedalam tong sampah dan meletakkan botol susu dalam sinki selepas minum susu. Sehinggakan apabila saya memasukkan baju dan membuang sampah sendiri anak-anak akan merengek dan menangis kerana dia yang nak buat perkara tersebut (biasanya semasa anak yang berumur 3 tahun ke bawah). Ini adalah kerana mereka berasa seronok apabila kita bertepuk tangan dan memberikan sedikit pujian apabila melakukan sesuatu perkara. Apabila semakin membesar sudah pasti semakin banyak perkara yang telah kita aturkan dan ajarkan kepada mereka. Semoga itu menjadi satu pengajaran bagi anak2ku dalam mengenal erti displin.

Untuk mengajarkan anak berdisplin, tidak cukup sekadar kita memberitahu mereka apa yang patut mereka lakukan sedangkan kita sendiri tidak berdisplin dalam melakukan sesuatu perkara. Anak2 lebih mudah belajar dari tingkah-laku kita berbanding arahan atau suruhan yang kita berikan. Jangan sampai anak2 persoalkan kembali apa yang kita lakukan atau tidak lakukan terutama perkara2 yang kita nak mereka buat tapi kita sendiri tidak buat.

Contohnya, sebagai ibu bapa, kita mahu anak yang pandai mengaji dan kalau boleh nak khatam seawal yang mungkin. Acapkali kita menyuruh anak mengaji atau bertanyakan samada anak sudah mengaji atau pun belum…tapi kita sering lupa 1 perkara iaitu sudahkah kita bertanyakan diri kita sendiri, samada kita sudah menyelak lembaran masyaf Al-Quran atau belum?

Meminjam kata2 Ustaz Hasrizal ketika beliau memberikan ceramahnya di Doha (semoga diizinkan…sekadar menjadi peringatan untuk diri dan pembaca). Katanya diakhir sesi tersebut:

“Children might fail to follow our word but they will never fail to follow our action. If you want to be listened, listen first. If you want to be respected, respect first. Teach your children with actions and if you want to deliver a message, be the message.”

Inilah yang selalu kita cakap atau sembang2kan…cakap dengan mulut memang senang tapi kalau nak buat bukan main susah lagi. Semoga diberikan kemudahan kepada kita semua untuk melakukan banyak kebaikan dan diberikan kekuatan untuk menghindarkan diri dari sebanyak mungkin kemaksiatan….amin.

Monday, May 3, 2010

Pengalaman orang diambil pengajaran

Assalamualaikum...

Menyingkap buku yang dibaca…karya Ustaz Hasrizal, Rindu Bau Pohon Tin yang ditulis sempena pengalaman beliau menimba ilmu di bumi Jordan. Menuntut ilmu di bumi Mu’tah, tempat berlakunya peperangan mu’tah. Tempat dimana syahid sahabat2 utama Rasulullah antaranya Harith bin Harithah, Ja’far bin abi Talib dan Abdullah bin Rawahah. Kesemua mereka ini memegang panji Islam semasa peperangan dan bertukar tangan dari seorang kepada yang lain selepas syahid di medan petempuran. Peperangan 3 ribu askar Islam menentang tentera musuh seramai ratusan ribu orang.


Apa yang menjadi peringatan oleh Rasulullah ialah bahawasanya Islam bukanlah tertegak dengan mata pedang kerana perang merupakan langkah yang terakhir. Rasulullah berpesan kepada sahabat supaya menyeru dahulu musuh supaya menerima Islam, dan jika mereka menolak dan mengkhianati barulah mulakan dengan perang. Begitulah hikmahnya Rasulullah yang agung dalam memastikan Islam tersebar terlebih dahulu berbanding untuk melakukan pertumpahan darah walaupun dengan musuh dihadapan mata.

Bila terbaca sedikit cuma tentang para sahabat nabi, terasa naifnya diri kerana betapa kurang ilmu dan pengetahuan tentang sejarah dan sirah para sahabat dan para Nabi (maknanya perlu tambahkan lagi pembacaan untuk menambah ilmu didada)

Walau pun membaca tentang pengalaman orang lain dalam buku ini, terdapat banyak pengajaran dan peringatan yang boleh diambil iktibar. Yang menyentuh hati ini dan boleh diambil iktibar untuk muhasabah diri antaranya ialah:

1. Berdoalah dalam bahasa yang kita fahami kerana Allah memahami apa sahaja bahasa yang kita tuturkan. Jangan sampai doa panjang berjela tetapi tidak difahami maknanya.

2. Dalam Islam tiada titik pertengahan antara kebenaran dan kebatilan. Firman Allah:
“Dan janganlah kamu campur adukkan kebenaran dan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah : 42)
Pilihlah kamu antara 2…Islam atau Jahil????

3. No pain, no gain….ini boleh digunapakai dalam kehidupan seharian samada pelajar atau pun sesiapa sahaja. Untuk mendapatkan ilmu (atau apa jua) kita perlu berusaha dan dalam usaha itu pasti akan jerih payah dan cabaran yang perlu dilalui. Dimana ada kemahuan disitu ada jalan.

4. Hiduplah kita didunia ini untuk menyembah Allah dan beribadah kepadaNya bukan menjadi musuh Allah. Firman Allah :
Tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.”
(surah Adz-Dzariyat : 56)

5. Sabar dan berhikmah dalam berdakwah kerana dakwah tanpa hikmah akan lebih merosakkan daripada memperelokkan.

6. Belajar menjadi khalifah Allah yang menghargai dan memuliakan air sebagai keperluan asas kehidupan. Firman Allah:
Kami jadikan daripada air, tiap-tiao benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiya : 30)

Latih diri dan keluarga supaya mempunyai akhlak yang betul dalam penggunaan air. Sabda Rasulullah :
Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Baginda SAW pada suatu ketika melintasi Saad ibn Abi Waqqas yang sedang berwuduk dengan menggunakan air yang banyak. Lalu Baginda bertanya, “Mengapakah dengan pembaziran ini?” Saad bertanya kepada Bagind: Apakah dalam soal berwuduk pun dikira pembaziran? Baginda SAW menjawab, “Ya, (membazir tetap membazir), walaupun kamu berada di sungai yang mengalir.” (Riawayat Ibn Majah)

7. Buat persediaan untuk menghadapi hari pengakhiran yang pasti akan tiba.
Gembala-gembala kambing berlumba meninggikan bangunan,” ungkap Rasulullah SAW tentang petanda akhir zaman. Ungkapan Rasulullah tentang kabilah gembala kambing dan unta meninggikan bangunan adalah merujuk kepada metafora pembangunan ekstrim dikalangan pemerintah negara Teluk untuk menjadi ‘Tertinggi…terbesar…terpanjang….dan lain-lain lagi. Ini menjadi petanda kepada kehancuran hidup disamping fenomena2 lain yang muncul.

Semoga kita sama2 mengambil iktibar dan sentiasa muhasabah diri untuk menghadapi hari2 mendatang terutamanya hari akhirat kelak….wassalam.

Saturday, April 10, 2010

Muhasabah pembacaanku

Assalamualaikum...

Pesta buku sudah seminggu pun berakhir. Alhamdulillah dapat pergi PBAKL tahun ni, siap bawa anak2 lagi. Tatkala bertemu sahabat2 yang masih belajar dan menyambung pengajian mereka, hati ada juga terdetik rasa cemburu kerana musafirnya mereka dalam menuntut ilmu dalam bidang masing2. Tetapi jika difikirkan kembali, menuntut ilmu bukannya hanya dituntut dikalangan mereka yang bergelar siswazah sahaja, sebaliknya setiap individu yang menjadi khalifah Allah mempunyai tanggungjawab ini. Pertemuan dengan teman yang berbicara tentang ulasan buku2 yang sedang dibaca sedikit-sebanyak membuka mata dan hati ini untuk muhasabah diri. Muhasabah tentang pembacaan sendiri yang semakin kurang.

PBAKL tahun lepas pun dapat pergi tetapi tidak dapat membeli buku apa2. Mungkin sebab tiada planning yang proper, sekadar pergi sahaja. Alhamdulillah tahun ini memang dah rancang nak pergi dan siap dengan budgetnya sekali dan akhirnya dapat bawa balik buku2 mengikut budget yang ditetapkan. Syukran buat suami yang juga bersusah dan spend masa untuk pergi bersama-sama walaupun penat juga ler melayan kerenah anak2 lagi, sambil nak memilih buku. Tetapi suami dapat pula pergi 2nd time on the last day. Dah sampai baru hubby call, tanya buku apa lagi nak dibeli/belum beli? Teringat juga hubby kat Umi dirumah...thanks God. Alhamdulillah dapat sebuah Al-Quran tafsir comel dari hubby yang insyaAllah lebih mudah untuk dibawa ke mana2. Hubby pun beli sebuah Al-Quran untuk dibawa bila outstation katanya. Al-Quran juga sumber ilmu...yang kekal sepanjang zaman, bergantung kepada kita untuk menggunanya sebaik yang mungkin.

Al-Quran yang dibeli oleh hubby...

Dah beli buku banyak2, kena plan pula bila nak dihabiskan. Sebagai surirumah pun kena juga buat planning itu dan ini dalam banyak perkara. Alhamdulillah, 1st week after PBAKL, dapat habiskan my 1st book, related to my job...as fulltime housewife and at the same time to make home business.

Buku pertama yang dibaca...Rumahku, Ofisku, karya Mazneera Zainal. Menceritakan pengalaman sendiri menjadi surirumah berijazah dan menjalankan perniagaan dari rumah (buss melalui internet).

Inilah 1st buku yang dibaca...after PBAKL

Menyelami kehidupan seorang surirumah yang bekerja dari rumah amat hampir dengan realiti kehidupan saya sendiri. Tips2 yang diberikan amat berguna dan boleh dimanfaatkan oleh siswazah yang berminat untuk menjadi surirumah berijazah dan mulakan perniagaan dari rumah (yang kebiasaannya bagi mereka yang hendak menjaga sendiri anak2)...insyaAllah.

Alhamdulillah...syukur padaMu, Allah