Wednesday, May 12, 2010

Displin tu apa???

Assalamualaikum...pembaca yang disayangi Allah.

Suatu hari, sebaik pulang dari sekolah Naim bertanya, “Umi! Displin tu apa?” Saya terdiam seketika. “Kenapa Naim tanya?” Soal saya kembali. “Tadi di sekolah ada pameran polis. Polis tu tanya makna displin dan siapa yang dapat jawab dapat hadiah. Naim tak dapat jawab, tak dapat la hadiah. Tu la umi tak beritahu Naim displin tu apa.” Katanya.

“Displin tu maksudnya kita buat perkara yang sepatutnya pada masa yang sepatutnya.” Jawab saya ringkas. Mudah-mudahan difahami oleh anakku yang dipanggil Along Naim ini. “Naim mandi, solat, buat kerja sekolah, mengaji dan main pada masa yang sepatutnya itu maknanya Naim berdisplin.” Sambung saya, cuba memahamkannya lagi.

Ya Allah, bila anak cakap macam tu, terfikir sejenak “Tidakkah aku mengajar anak aku berdisplin?” Dalam kes Naim ni…mungkin yang ditanyakan polis itu adalah maksud/makna displin dan sukar baginya untuk memberikan jawapan berbentuk ayat lengkap memandangkan umurnya baru 7 tahun. Sebagai ibubapa, adakah kita sudah mengajar anak2 berdisplin? Secara sedar atau tidak kita mungkin sudah mengajar anak2 berdisplin walaupun tidak memberitahu secara lisan.

Bila terkenangkan kembali dalam proses membesarkan 3 orang anak (setakat ini), apabila anak sudah boleh berjalan, antara perkara pertama yang saya minta mereka lakukan ialah masukkan baju kedalam baldi apabila hendak mandi, membuang sampah kedalam tong sampah dan meletakkan botol susu dalam sinki selepas minum susu. Sehinggakan apabila saya memasukkan baju dan membuang sampah sendiri anak-anak akan merengek dan menangis kerana dia yang nak buat perkara tersebut (biasanya semasa anak yang berumur 3 tahun ke bawah). Ini adalah kerana mereka berasa seronok apabila kita bertepuk tangan dan memberikan sedikit pujian apabila melakukan sesuatu perkara. Apabila semakin membesar sudah pasti semakin banyak perkara yang telah kita aturkan dan ajarkan kepada mereka. Semoga itu menjadi satu pengajaran bagi anak2ku dalam mengenal erti displin.

Untuk mengajarkan anak berdisplin, tidak cukup sekadar kita memberitahu mereka apa yang patut mereka lakukan sedangkan kita sendiri tidak berdisplin dalam melakukan sesuatu perkara. Anak2 lebih mudah belajar dari tingkah-laku kita berbanding arahan atau suruhan yang kita berikan. Jangan sampai anak2 persoalkan kembali apa yang kita lakukan atau tidak lakukan terutama perkara2 yang kita nak mereka buat tapi kita sendiri tidak buat.

Contohnya, sebagai ibu bapa, kita mahu anak yang pandai mengaji dan kalau boleh nak khatam seawal yang mungkin. Acapkali kita menyuruh anak mengaji atau bertanyakan samada anak sudah mengaji atau pun belum…tapi kita sering lupa 1 perkara iaitu sudahkah kita bertanyakan diri kita sendiri, samada kita sudah menyelak lembaran masyaf Al-Quran atau belum?

Meminjam kata2 Ustaz Hasrizal ketika beliau memberikan ceramahnya di Doha (semoga diizinkan…sekadar menjadi peringatan untuk diri dan pembaca). Katanya diakhir sesi tersebut:

“Children might fail to follow our word but they will never fail to follow our action. If you want to be listened, listen first. If you want to be respected, respect first. Teach your children with actions and if you want to deliver a message, be the message.”

Inilah yang selalu kita cakap atau sembang2kan…cakap dengan mulut memang senang tapi kalau nak buat bukan main susah lagi. Semoga diberikan kemudahan kepada kita semua untuk melakukan banyak kebaikan dan diberikan kekuatan untuk menghindarkan diri dari sebanyak mungkin kemaksiatan….amin.

No comments:

Post a Comment