Saturday, May 15, 2010

Berani atau Takut?

Assalamualaikum....pembaca yang diredhai Allah.

Terkenangkan situasi dengan anak-anak yang kadang-kadang membuatkan kita terfikir dan mengambil iktibar dari sesuatu kejadian. Pada suatu petang:

“Naim tolong berikan bungkusan tu pada kawan di rumah atuknya.” Kata saya pada Naim, anak yang sulung. 3 kali dia berulang alik ke rumah jiran tu tapi tak berikan lagi bungkusan jajan untuk anak jiran.
“Umi la berikan.” Katanya sambil mengerutkan muka. Kemudian diajak pula adiknya temankan. “Naim ketuk pintu, beri salam dan hulurlah bungkusan tu,” balas saya.
“Ala umi ni…Naim takut la.”
“Apa Naim nak takutkan? Sepatutnya kita ni takut nak buat benda2 yang tak elok, perkara yang jahat dan perkara yang Allah tak suka. Ni kita nak buat baik…apa nak ditakutkan? Dapat pahala pulak tu.” Kata saya sambil tegak berdiri.
Sambil mulutnya mengomel2…“Ok…ok…Naim pergi. Haa, umi tengok Naim berani buat,” katanya. Terus pergi bagi salam dan hulurkan bungkusan tadi. Alhamdulillah…berani pun

Sambil bersendirian terfikir pulak apa yang dicakapkan pada anak petang tadi. Kita ni kadang2 takut tidak kena tempatnya. Begitu juga dengan malu yang sepatutnya perlu ada dalam diri setiap khalifah Allah tapi selalunya malu kita juga tak bertempat.

Takut melakukan kebaikan depan orang, nanti dikatakan menunjuk-nunjuk. Takut untuk tegur kesalahan atau kemaksiatan depan mata, nanti orang cakap pandai sangatkah kita ni. Takut mengajak orang melakukan kebaikan, ilmu tidak setinggi mana, nanti tunggu ilmu penuh didada baru boleh berdakwah dengan orang. Takut…takut….takut…kenapa pula kita tak berasa gentar atau takut sedikit pun apabila kita berbuat kemaksiatan dengan Allah? Itulah sebenar2 takut yang patut kita rasakan. “Takutlah kamu kepada Allah…” sering diulang sebut dalam Al-quran. Takut untuk menyampaikan Islam kerana ilmu tak banyak lagi, tapi persoalannya sampai bila ilmu kita akan penuh didada. Adakah tanda aras yang menunjukkan perkara ini???

Dalam konteks keusahawanan sekalipun…tak perlu tunggu kesempurnaan untuk melakukan sesuatu kerana dek menunggu sempurna suatu idea itu, akhirnya kita tidak melakukan apa-apa pun. Lakukan setakat yang kita mampu dan tahu, insyaAllah idea akan sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Dalam konteks dakwah pula, tak perlu tunggu dada penuh dengan ilmu syariah, ilmu dakwah, ilmu fiqh dan segala macam lagi baru nak mula berdakwah. Tetapi sesedarnya kita akan kewajipan ini maka mulakan langkah kita untuk menyampaikan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah. Walaupun tidak sehebat Rasulullah, tetapi sekurang-kurangnya kita menyambung perjuangan Rasulullah. InsyaAllah dengan sendirinya, kita akan sentiasa memperbaiki, mentarbiyah dan muhasabah kekurangan diri untuk memperelokkan penyampaian dan perjuangan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya” (An-Nazi’at : 40)

Takut yang sebenar-benarnya hanyalah kepada Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Apabila takut dengan Allah, secara automatik kita akan buat apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ini adalah kerana ketakutan itulah yang akan membuahkan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Semoga kita menjadi manusia yang seronok melakukan amal kebaikan dan bukannya leka dibuai amal kemaksiatan yang penghujungnya adalah neraka jahannam…nauzubillah….Ya Allah Ya tuhanku…cambahilah diriku ini dengan benih2 keberanian dan kekuatan sebagaimana Engkau berikan kepada Rasulullah S.A.W. dalam perjuangannya…amin.

No comments:

Post a Comment